Konsep Rapid Bas lindungi wanita
Tuesday | 6:07 PM
KUALA LUMPUR - Pelaksanaan konsep Rapid Bas Wanita yang dilancarkan pada 1 Disember lalu mendapat sokongan daripada ramai pihak bagi memudahkan pergerakan dan mengelakkan berlakunya gangguan yang tidak diingini terhadap wanita.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, tindakan ini adalah salah satu penambahbaikan yang memberikan banyak keuntungan kepada kaum wanita, golongan orang kurang upaya (OKU) dan warga emas.
Menurutnya, tindakan yang dilakukan oleh RapidKL dengan kerjasama daripada Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) adalah satu penambahbaikan yang membantu kerajaan kerana isu keselamatan golongan berkenaan adalah amat membimbangkan.
“Kaum wanita semestinya lebih senang apabila menaiki bas yang kebanyakan penumpang adalah golongan sejenis dengan mereka.
“Banyak perkara yang akan terjadi jika menaiki bas dengan lelaki. Dalam keadaan bersesak menambahkan lagi risiko untuk berlakunya keadaan yang tidak diingini,” katanya kepada media selepas melancarkan Bas Wanita, mesra OKU RapidKL dan Van Mobiliti, semalam.
Shahrizat berkata, kesedaran dan tindakan yang diambil pihak itu patut diberi pujian kerana ianya menunjukkan bahawa mereka juga turut mengharapkan golongan yang lemah itu mendapat kesenangan.
“KPWKM akan berjuang berhabis-habisan untuk membantu golongan ini lebih-lebih lagi golongan OKU,” katanya.
Pengerusi Kumpulan Prasarana, Tan Sri Izuddin Dali berkata, perkhidmatan Rapid bas wanita menjalani tempoh percubaan selama sebulan bermula pada 1 hingga 31 Disember lalu dan mendapat sambutan daripada responden.
“Dalam tempoh percubaan itu RapidKL menggunakan tujuh laluan dan akan menambah lagi lapan laluan bermula esok. Dengan 15 jumlah laluan diharap dapat mengurangkan masalah kesesakan yang dialami wanita pada waktu puncak.
“Perkhidmatannya adalah di waktu pagi iaitu pada jam 6.45 pagi hingga 7.30 pagi dan jam 6 hingga 6.45 petang,” katanya, semalam.
Menurutnya, waktu puncak itu adalah waktu kesesakan yang kebiasaannya dialami wanita dan golongan OKU.
Beliau berkata, pihaknya masih mengekalkan lelaki sebagai pemandu kerana perkhidmatan golongan itu juga diperlukan jika berlaku sebarang kecelakaan.
Sebanyak 92 peratus responden kaji selidik pelanggan yang menyokong pelaksanaan konsep berkenaan dalam tempoh percubaan.